Sejarah Pembuatan Batik

Sejarah Ringkas Batik Di Malaysia

Istilah Batik berasal daripada bahasa Indonesia-Melayu yang membawa maksud ‘titik’. Ini merujuk kepada teknik menggunakan lilin yang menghalang kain dari meresap warna dalam proses pewarnaan kain.

Teknik ini dikesan pada awal abad yang telah digunakan di Afrika, Timur Tengah, India, Sri Lanka, China, Jepun, Indonesia dan seterusnya ke Malaysia.

Bukti menunjukkan pembuatan batik bermula di Semenanjung Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu di awal 1930an dimana pada ketika itu teknik dan corak kebanyakannya dipengaruhi oleh orang Jawa. Ia masih boleh dilihat sehingga ke hari ini, tetapi batik Malaysia telah banyak membangun dengan menghasilkan teknik, corak dan juga produk yang baru dalam industri batik ini.

Terdapat dua jenis cara penghasilan batik di Malaysia iaitu teknik lukisan dan juga cetakan. Dengan adanya kepelbagain budaya dan etnik di Malaysia, kita seharusnya berbangga dengan Batik Malaysia kerana mempunyai nilai seni dan kelebihan yang tersendiri.

Batik di Malaysia pada masa kini kebanyakannya telah menghasilkan corak yang baru mengikut trend yang lebih moden. Oleh kerana itu, batik Malaysia telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Ini adalah daripada jasa baik Allahyarhamah Datin Seri Paduka Seri Endon Mahmud yang telah menaikkan kembali industri batik pada tahun 2003 di persada dunia dengan tema “Malaysia Batik: Crafted for the World”.

Salah satu badan yang banyak membantu dalam menaikkan lagi industri batik ini adalah Perbadanan Kraftangan Malaysia. Banyak program yang telah dijalankan tidak kira di Malaysia ataupun di peringkat antarabangsa untuk membawa industri batik ini dikenali di serata dunia.

Rakyat Malaysia juga disarankan untuk memakai pakaian batik disamping untuk menjadikan Malaysia salah satu negara batik.

Pada masa kini, batik bukan sahaja di fokuskan kepada pakaian, malahan masyarakat sudah mula menghasilkan produk untuk hiasan rumah seperti sarung bantal, aksesori, lukisan, alas meja dan banyak lagi.Industri batik di Malaysia terus berkembang kerana kesedaran pengguna keatas warisan batik dan juga dengan sokongan dan bantuan daripada pihak kerajaan dalam industri ini.

Kelantan dan Terengganu boleh dikatakan sebagai pusat atau tumpuan pengusaha batik. Perniagaan batik juga selalu dikaitkan dengan perniagaan keluaraga di mana anak-anak mengambil alih warisan ibu bapa mereka untuk meneruskan perniagaan batik.

Ada juga dikalangan pengusaha batik yang bermula dengan semangat, rasa cinta dan juga pengetahuan yang mendalam tentang batik yang seterusnya memotivasikan pengusaha ini untuk menceburi bidang batik.

Industri ini bukan sahaja terdiri daripada pengeluar batik tetapi bersama-sama dengan peniaga-peniaga batik di mana mereka bekerjasama dalam mengembang perniagaan dengan menyediakan pelbagai produk batik dalam memenuhi pasaran khusus, menvariasikan produk batik untuk pasaran tertentu dan menjalankan perniagaan terbuka dengan showroom, atas talian/internet atau kedua-dua nya sekali.

Pada tahun 2013, terdapat hampir 400 pengeluar batik di Kelantan (Akhir, Ismail, Said, 2015). Selain itu, industri batik berkembang pesat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa disebabkan oleh usaha pereka batik yang mewujudkan barangan batik sedia pakai dan aksesori yang mensasarkan wanita muda dan lelaki yang sesuai pada masa kini dan gaya hidup kontemporari.