Jenis Kain DiBuat Batik

Kain crepe.

Crepe adalah sejenis fabrik nipis dan lembut yang mempunyai ciri yang tak sekata seperti mengerutu hasil semasa pembuatannya. Ia ditenun biasa menggunakan campuran sutera, kapas dan rayon. Kadang kadang fabrik kelihatan seperti kulit kayu. Tetapi ia sangat cantik dibuat baju kerana jatuh dengan elok ke bawah mengikut bentuk, mudah dijaga, dan tidak berkedut.

Kerana sifatnya yang selesa, tidak panas, dan tidak memerlukan lining, Crepe begitu popular dikalangan pembatik dan pembeli. Ia sangat sesuai dijadikan baju kurung, jubah, kaftan, dan blouse.

Kain Chiffon

Chiffon adalah sejenis fabrik nipis bertekstur lembut, ringan dan “drape” dengan cantik bila dipakai. Ia diperbuat daripada sutera, kapas, nylon dan polyester. Fabrik ini sedikit jarang (semi-transparent), maka ia perlu dilapisi dengan kain (lining) jika dijadikan baju.

Batik chiffon boleh dibuat sebagai baju kurung, kaftan, blaus atau shawl kerana ia terletak elok pada badan pemakai dan memberi efek sheer. Fabrik sebegini eloknya dicuci lembut menggunakan tangan.

Kain Jacquard

Jacquard adalah kain sutera yang bercorak timbul, berkilat dan licin. Seperti crepe, ia bersifat lembut beralun dan tidak memerlukan lining. Walaubagaimanapun, ia mengambil masa yang lama untuk digosok (iron) dan memerlukan stim iron untuk menghilangkan kedutan baju.

Jacquard banyak dihasilkan sebagai baju kurung dan baju kemeja lelaki.

Kain Cotton

Cotton (Kapas) adalah dari fiber selulos asli yang mempunyai banyak ciri yang digemari:

• Selesa dan menyerap (kulit dapat bernafas dengan baik)

• Tidak mudah luntur

• Senang dijaga (Boleh dibasuh mengguna mesin basuh)

• Tahan lasak (tidak mudah berlubang seperti kain rayon/fuji)

Fabrik ini mula popular dikalangan peminat batik untuk tampil lebih santai, dan banyak digunakan sebagai baju kurung, blouse, kemeja, dan jubah.

Rayon/Fuji

Fabrik rayon/fuji ini bersifat diantara sutera dan cotton, kainnya sedikit keras dan berkilat. Selesa digunakan sebagai pakaian santai dan tidak sesuai untuk digunakan sebagai pakaian kerja atau untuk ke majlis formal kerana kualiti kainnya yang rendah.

Ianya banyak dihasilkan sebagai kaftan (baju tidur), dan blouse.