Corak Batik Ke Kain Batik

Proses Motif Ke Kain Batik

Terdapat 3 cara utama dimana motif atau corak batik dilekatkan kepada kain sehingga menjadi sebidang kain batik.

Menggunakan Blok Corak - Batik Blok

Batik Blok dikenali juga sebagai Batik Terap atau Batik Pukul merupakan salah satu daripada seni kraf buatan tangan tradisional yang terkenal di Malaysia. Ia dihasilkan melalui proses penerapan lilin dan penerapan warna. Hasil hasil batik tempatan tinggi mutu ciptaan dan reka-coraknya dan ianya melambangkan kerja tangan masyarakat tempatan.

Di Malaysia, teknik terawal yang diperkenalkan ialah Batik Blok. Proses awal dalam perkembangan membuat Batik Blok adalah menggunakan ukiran sarang acuan kayu dengan menerap sejenis pewarna hitam dan teknik awal ini dikenali sebagai 'terap hitam'. Pada tahun 1930 an, penggunaan lilin dalam proses penerapan mula diperkenalkan oleh pembuat batik di pantai Timur. Sejajar dengan itu, acuan yang diperbuat daripada kepingan keluli mula digantikan dengan acuan kayu sebelumnya.

Corak-corak acuan ini lebih kemas dan halus buatannya.Acuan khas disediakan untuk menerap lilin pada sarung di bahagian kepala kain, kapit kain, badan kain dan kaki kain. Batik Blok adalah adaptasi daripada unsur alam semulajadi. Kebanyakannya berdasarkan kepada flora dan fauna.

Corak flora dipilih daripada bahagian-bahagian tumbuhan yang ditiru berasaskan bentuk bunga. Gubahan motif dan corak direka secara realistik, abstrak dan stilisasi dalam bentuk geometrik atau organik. Antara motif flora yang digunakan untuk mencorak batik ialah pucuk rebung, pohon ara, bunga tampuk manggis, bunga mangga, bunga cempaka, bunga buluh, bunga maman, bunga kerak nasi, bunga berbaling, bunga raya, daun keladi, bunga kenaga dan beberapa lain lagi.

Manakala bagi motif fauna yang popular ialah seperti jaring ikan dan ayam.

Lukisan Dengan Tangan - Batik Tulis

Batik Tulis juga dikenali sebagai Batik Canting. Pengeluaran Batik Tulis dibuat dengan menggunakan canting.

Canting merupakan bekas tembaga kecil bagi menakung lilin cair yang panas didalamnya serta mempunyai saluran kecil yang dapat mengeluarkan lilin cair. Ia mempunyai pemegang supaya mudah digunakan. Canting disikan dengan lilin panas dan dilukiskan melalui hujung saluran canting ke atas kain yang telah diregangkan di atas pemidang mengikut rekacorak yang dikehendaki.

Kain yang telah dicanting diwarnakan, dikeringkan, dimatikan warna dan direbus bagi mengeluarkan lilin sebelum dikeringkan sekali lagi. Batik lukis diperbuat daripada pelbagai jenis kain termasuk kapas, rayon, voile dan sutera. Ragam hiasnya terdiri daripada motif tumbuh-tumbuhan serta corak geomatrik. Reka coraknya juga mempunyai pelbagai susunan mengikut permintaan semasa.

Mewarna Mengikut Template - Batik Skrin

Batik Skrin dibuat dengan mengunakan blok skrin. Blok skrin disediakan berasaskan reka-corak yang dikehendaki. Bilangan blok yang disediakan bergantung kepada bilangan warna kain yang dikehendaki di mana setiap blok skrin boleh dicetak satu warna.

Di dalam proses penyediaan blok skrin secara manual, rekaan diambil gambar, filem dicuci, dibuat pengasiangan warna dengan memotong dan menampalkan filem di atas plastik. Ia seterusnya didedahkan kepada cahaya di atas kain sutera saring yang diregangkan di atas bingkai dan telah disapukan dengan photo emulsion di atasnya.

Kemudian blok skrin itu dibersihkan bagi menghasilkan rekaan di atasnya. Blok skrin yang telah disediakan, digunakan untuk mencetak kain dengan pewarna yang dikehendaki di atas meja skrin. Kain yang telah dicetak dikeringkan dan dimatikan warnanya sebelum dibasuh dan akhirnya dikeringkan semula. Percetakan kain boleh diulang beberapa kali bergantung kepada bilangan warna yang dikehendaki.

Satu pendekatan baru yang berkonsep teknologi maklumat yang dirancang oleh Kraftangan Malaysia, khasnya di Kraftangan Malaysia Cawangan di Kelantan dengan memperkenalkan System Atex Design iaitu proses perisian menghasilkan rekacorak batik secara pengendalian komputer yang dijangka akan mempercepat proses pengeluaran dan menjimatkan kos dalam jangka masa panjang.

Kelebihan proses Atex Design berbanding proses rekaan skrin secara manual. Cara ini dapat menghasilkan rekaan dengan baik dan cepat. Proses grafik juga dapat dilakukan dengan cepat dan mudah